comscore
Tumpuan :
Nasional

Laporan nahas pesawat Sabah Air 1976 dinyahklasifikasi

Tugu Peringatan ‘Double 6’. – FOTO: www.aviation.my

Oleh Syafiqah Damanhuri

PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju menyahklasifikasikan laporan siasatan nahas pesawat Sabah Air 1976 yang mengorbankan Ketua Menteri  Sabah ketika itu dan beberapa anggota Kabinet negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata laporan itu akan didedahkan minggu depan.

Katanya, keputusan menyahklasifikasi laporan berkenaan dibuat sebagai menyahut gesaan penduduk Sabah dan waris mangsa yang mahukan butiran penuh mengenai tragedi itu.

Nahas pesawat Sabah Air yang terhempas di perairan Sembulan pada 1976 masih diselubungi pelbagai persoalan dan spekulasi sehingga kini.

“Selama ni kerajaan belum memutuskan untuk menghebahkan, menzahirkan laporan itu diturun taraf dinyahklasifikasi dibawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 atau Akta 88.”

“Pada hari ini Jemaah Menteri mengambil kira pandangan rakyat dikemukakan rakyat Sabah selama bertahun-tahun dan juga tuntutan dibuat keluarga waris yang inginkan maklumat terperinci.”

“Ianya selari, tuntas dengan dasar keterbukaan diamalkan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam  sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Putrajaya.

Bangkai pesawat Sabah Air yang berlaku pada 6 Jun 1976. – FOTO: Ihsan Bureau of Aircraft Accidents ArchivesPada 8 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Christopher Chin Soo Yin membenarkan permohonan bekas Ketua Menteri Tan Sri Harris Mohamad Salleh dan mengarahkan kerajaan untuk menyahklasifikasi laporan nahas itu.

Mahkamah memberi kerajaan sehingga 8 Jun depan untuk mematuhi perintah berkenaan.

Tun Fuad Stephens terkorban dalam nahas itu hanya 53 hari selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah.

Pesawat dinaiki beliau bersama 10 yang lain terhempas di Sembulan, semasa menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Turut terbunuh Ahli Kabinet kerajaan negeri, Datuk Salleh Sulong, Chong Thien Vun  dan Datuk Peter Mojuntin.

Susulan nahas itu, pengeluar pesawat Gaf Nomad Manufacturer dari Australia melakukan siasatan untuk mengesahkan kejadian bukan disebabkan kerosakan mekanikal pesawat.

Bagaimanapun laporan itu tidak didedahkan kepada umum sebaliknya diklasifikasikan  sulit mengikut Akta Rahsia Rasmi.

Pelbagai spekulasi dibuat mengenai punca nahas termasuk dakwaan perbuatan khianat berikutan keadaan politik Sabah yang tidak menentu ketika itu.

Terdapat juga spekulasi kegagalan teknikal dan lebihan muatan menyebabkan nahas.

Pada sebelah petang susulan tragedi berkenaan, Timbalan Ketua Menteri ketika itu, Datuk Harris Salleh mengangkat sumpah Ketua Menteri Sabah yang baharu.

 

 

Loading...
Terkini