comscore
Tumpuan :
Nasional

Laporan Awal nahas Elmina : Kedua-dua juruterbang sihat, mendapat rehat cukup sebelum penerbangan 

KUALA LUMPUR: Laporan Awal nahas pesawat Beechcraft Premier 1 terhempas dan mengorbankan 10 nyawa di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu menyatakan  siasatan awal mendapati pesawat mempunyai sijil kelayakan udara sah dan mengikut peraturan.

Fakta mengenai kejadian ialah nahas berlaku pada waktu siang dengan penglihatan jelas dan keadaan meteorologi yang baik.

Artikel berkaitan: Laporan awal nahas Elmina: Tiada bulu burung, objek asing ditemui pada enjin kanan pesawat

“Tiada bukti ketidakupayaan atau faktor fisiologi yang menjejaskan prestasi kru penerbangan. PIC dilesenkan dan layak untuk penerbangan mengikut peraturan sedia ada,” menurut laporan  itu.

Laporan dimuat naik di laman sesawang Kementerian Pengangkutan (MoT), hari ini, turut mengenepikan faktor kesihatan  memandangkan kedua-dua juruterbang mendapat rehat secukupnya sebelum penerbangan dan tidak mempunyai masalah perubatan serius, berdasarkan sejarah kesihatan dan pemeriksaan fizikal.

Bagaimanapun, pesawat terbabit tidak dapat diselamatkan kerana magnitud daya nyahpecutan (deceleration force) dan kebakaran selepas kemalangan.

Sementara itu, kementerian turut memaklumkan, transkripsi awal rakaman suara kokpit (CVR) telah selesai.

Bagaimanapun, analisis audio masih berjalan.

“Analisis awal rakaman CVR yang berjaya dipulihkan memberi petunjuk kritikal kepada pembongkaran punca nahas, dengan fokus pada sistem kawalan penerbangan pesawat.

Artikel berkaitan: Laporan awal nahas Elmina: Fail audio, CVR pesawat dipulihkan makmal AS

“Hasil pemeriksaan bahagian pesawat dan komponen yang belum selesai di makmal OEM dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB) adalah perlu untuk menyediakan bukti muktamad dalam menentukan punca kemalangan,” menurut laporan itu lagi.

Transkrip rakaman suara kokpit akan dimasukkan dalam laporan akhir sekiranya penting untuk analisis dan pemahaman tentang kejadian itu.

Laporan Akhir yang dijangka siap selewat-lewatnya pada Ogos tahun depan adalah berdasarkan rakaman suara selama 30 minit yang diperoleh daripada komponen “memory puck” dalam CVR pesawat malang itu.

Laporan setebal 26 muka surat itu kini boleh diakses orang ramai mulai jam 10 pagi tadi .

Kandungannya antara lain,  bermula dengan pengenalan dan sinopsis, fakta mengenai pesawat dan tragedi menyayat hati itu, teknik penyiasat dan diakhiri dengan rumusan serta hasil siasatan.

Maklumat lain dalam laporan siasatan nahas pesawat dinaiki lapan individu itu ialah punca tragedi berkenaan, data nyahpecutan dan kebakaran selepas kemalangan.

 

Loading...
Terkini