Oleh: Hilmi Abdul Malik
KUALA LUMPUR: Cabaran mengumpul bahan bukti khususnya membabitkan sesuatu kes jenayah berprofil tinggi tidak hanya tertumpu di darat.
Bagi pelaku jenayah, mereka akan melakukan apa sahaja usaha dalam melupuskan bahan bukti termasuklah membuangnya di dasar air.
Disinilah bermulanya peranan Sub Aquatic Forensic Investigation (SFI) yang ada di dalam unit D10 Bukit Aman bagi mendapatkan segala bahan bukti yang dibuang ke dalam dasar air.
Kepakaran yang tidak ada pada semua individu menjadikan unit itu hanya terhad kepada beberapa anggota.
Nama yang mungkin agak asing pada umum, namun mereka telah berdepan dengan beberapa kes jenayah berat antaranya kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati, kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais serta terbaharu melibatkan kes Farah Kartini.
Bagi Superintenden Mahani Mohamad selaku Ketua Seksyen Kimia, tugas menyelam mungkin kelihatan mudah, namun setiap kes wujud cabaran yang tersendiri.
Ini termasuk kenyataan yang bercanggah dari pihak suspek yang seterusnya menyukarkan proses pencarian dari pihak pasukan.
“Kadang-kadang kita berdepan dengan situasi dimana maklumat yang suspek berikan tak konsisten dengan kejadian sebenar.
“Apabila kita dive (menyelam) di kawasan kejadian untuk cari bahan bukti berkemungkinan itu bukan lokasi sebenar bahan bukti.
“Bagaimanapun pasukan SFI ada kepakaran tersendiri dan apa yang penting, kita perlu bijak baca radius kawasan untuk peroleh bahan bukti yang mungkin ada di kawasan sekitar,” katanya kepada Buletin TV3.
Bagi Sarjan Hamizi Hamzah pula yang merupakan penyelam dalam pasukan, beliau akui pasukannya berdepan dengan pelbagai risiko.
Faktor air yang kotor, pemandangan yang tidak jelas, termasuklah permukaan di dalam air yang tidak rata ada kalanya mampu mengundang pelbagai risiko.
“Kita berdepan dengan risiko yang tak dijangka, ada kes yang kami selam, terima kesan kulit gatal-gatal sebab keadaan air terlalu kotor.
“Kita juga ada risiko dengan haiwan berbisa jadi semua aspek ini memerlukan persiapan mental dan fizikal yang kuat,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi anggota penyelam, DSP Kamarul Hasnan Hassan turut berkongsi pengalaman menyelam untuk mendapatkan bahan bukti.
Kaedah pencarian sebahagian besarnya secara manual iaitu menggunakan tangan dalam penglihatan yang tidak jelas.
Apa jua bahan yang dipegang di dalam dasar air, ia belum tentu memberikan jaminan yang selamat terhadap anggota malah ada kemungkinan wujudnya ancaman terhadap nyawa sendiri.
“Saya pernah terlibat dengan satu kes bunuh di sekitar Sentul dibawa suspek telah buang pistol di dalam sungai.
“Ketika menyelam, kita bukan hanya berjaya jumpa pistol kerana ada bungkusan hitam yang ketika itu hanya dapat rasa dengan tangan berbentuk bulat.
“Selepas kita teliti rupanya objek itu merupakan satu bom dan inilah saat dimana saya rasa benda yang paling berbahaya pada diri saya.
“Pergerakan perlu dibuat secara perlahan dan apabila kedua-dua objek itu berjaya kita bawa naik ke darat kemudian barulah saya rasa keadaan benar-benar selamat,” katanya yang ditemui Buletin TV3.
Hakikatnya, jenayah itu berlaku tidak mengikut masa dan hadir dalam pelbagai bentuk keadaan.
Untuk mereka pula, rutin harian sentiasa dalam keadaan bersedia yang mempunyai episod pengalaman yang berlainan setiap hari.
Selagi mana bukti itu diperlukan maka pasukan berkenaan akan terus mencurahkan kudrat demi memperoleh keadilan dalam setiap kes.
Kelibat yang mungkin jarang dilihat di mata masyarakat, namun sumbangan dan peranan mereka boleh dianggap sebagai wira di sebalik penyiasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.