Tumpuan :
Nasional

Laporan kes jasad bayi ‘ditahan’ dijangka siap minggu depan – KKM

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

GEORGE TOWN: Kementerian Kesihatan (KKM) menjangka laporan penuh siasatan kes jasad bayi yang didakwa disimpan dalam peti sejuk selama dua minggu di sebuah hospital swasta di Klang kerana ibu bapanya tidak menjelaskan bil, akan diperoleh selewat-lewatnya minggu depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) telah menjalankan siasatan dan pihaknya masih menunggu dapatan penuh selepas mesyuarat pasca Kabinet semalam.

 

“Harapnya, ada mesyuarat terakhir sebelum akhir tahun iaitu minggu depan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Persidangan Komuniti Tindak Balas Pertama Malaysia di sini, hari ini.

Dzulkefly berkata, KKM memberi perhatian terhadap kes itu namun pada masa sama harus menunggu hasil siasatan untuk berlaku adil kepada semua pihak.

“Kita bersimpati dengan keluarga yang terbabit dalam tragedi ini dan saya harap laporan dapat disegerakan.

“Dapatan awal sudah ada dan saya yakin semua pihak mahu mengetahui hasilnya,” ” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua perkhidmatan hospital swasta di negara ini tertakluk di bawah Akta Perkhidmatan Hospital Swasta atau Akta 586.

“Walaupun pemantauan sentiasa menjadi fokus utama, kes ini dilihat agak unik dari segi latar belakang dan situasinya,” katanya.

Selain tumpuan terhadap usaha menambah baik sistem penjagaan kesihatan awam termasuk reformasi penghantaran perkhidmatan, sumber manusia dan klinik daif, Dzulkefly berkata, KKM ihaknya juga memberi perhatian kepada sektor swasta terutama berkaitan kos perubatan.

Kisah bayi dinamakan Adham dan meninggal dunia beberapa minit selepas dilahirkan menjadi tumpuan apabila jasadnya ‘ditahan’ di bilik sejuk beku sebuah hospital swasta selama dua minggu selepas bapanya, Safwan Roshdy, tidak dapat melunaskan bil hospital.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini