KUALA BERANG: Kementerian Kerja Raya menjangkakan kajian penuh termasuk kerosakan akibat kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor siap dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kajian berkenaan hampir siap dan proses pembinaan infrastruktur dan pembaikan cerun di kawasan berkenaan akan dilakukan sebaik laporan itu diperoleh.
Katanya, kerja-kerja pembinaan dan baik pulih itu perlu dilakukan dengan teliti bagi mengelak insiden sama berulang.
“Kita tak boleh buat secara semberono (dan) kita kena turunkan pasukan kita untuk buat kajian (kerana) kita tidak tahu dibawah itu ada apa.
“Kita tak nak peristiwa itu berlaku lagi (dan) daripada awal pasukan kita turun, kita dapati ada aliran di bawah tanah
“Buat masa ini, keputusan penuh belum kita dapat lagi dan angka-angka harga yang akan kita baiki pun belum dapat.
“Apabila kita dapat nanti, barulah kita boleh membuat keputusan berapa koskos sebenar untuk kita baiki,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita pada Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Technologies Wilayah Timur di Dewan Besar Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur di sini hariini.
Pada majlis itu,seramai 142 pelatih ABM menerima sijil tamat latihan kursus CIDB.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, KKR turut memohon peruntukan sebanyak RM300 juta untuk kerja-kerja membaik pulih keseluruhan infrastruktur yang terjejas akibat bencana baru-baru ini.
Beliau berkata, peruntukan itu akan dibentangkan untuk kelulusan pada pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari ini.
Katanya, peruntukan itu merangkumi kerja baik pulih jalan, jambatan dan cerun yang mengalami kerosakandi negeri-negeri seperti Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Kedah dan Johor.
“Bagaimanapun, kerja baik pulih infrastruktur yang teruk sudah dilaksanakan segera membabitkan kira-kira RM43 juta,” katanya.