KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Pelaburan, Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama pihak industri automotif sedang meneliti kaedah penilaian kenderaan bagi memastikan pengenaan cukai dilaksanakan secara adil, seragam, neutral serta konsisten.
MoF dalam kenyataan berkata, laporan berita berhubung jangkaan kenaikan harga kenderaan secara signifikan bermula 2026 adalah tidak tepat.
“Ini susulan penguatkuasaan sepenuhnya peraturan cukai eksais baharu, P.U.(A) 402/2019 atau Peraturan Cukai Eksais (Penentuan Nilai Barangan yang Dihasilkan Secara Tempatan untuk Tujuan Mengenakan Cukai Eksais).
“Oleh itu, MoF belum membuat sebarang keputusan muktamad,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Rabu lalu, media melaporkan harga kereta pemasangan tempatan tidak akan dinaikkan sehingga awal tahun depan berikutan semakan semula duti eksais nilai pasaran terbuka (OMV), yang sepatutnya dilaksana pada 2020, ditangguh beberapa kali dengan tarikh akhir Januari 2025 kini dibawa ke Januari 2026.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.