comscore
Tumpuan :
Nasional

Laporan kaji selidik kesan AI terhadap pasaran tenaga kerja negara bakal diterbitkan 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Laporan kaji selidik berhubung kesan teknologi kecerdasan buatan (AI) terhadap pasaran tenaga kerja negara ini membabitkan 10 sektor strategik, akan diterbitkan dalam masa terdekat.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata antara perkara terkandung dalam laporan itu ialah hal ehwal seperti peraturan dan kemahiran sebagai rujukan untuk tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Beliau menjelaskan bahawa kaji selidik itu dilakukan susulan timbul kebimbangan serta persoalan berhubung ancaman AI terhadap pekerja dan industri.

“AI banyak diperkatakan sekarang. Ia adalah perlumbaan trend kerana semua orang hendak bercakap mengenai AI dan semua orang mahu menggunakan AI. Kerajaan pun bercakap mengenai AI.

“Namun, apakah ia apabila kita memperkatakan mengenai AI? Bagaimana kita termasuk perniagaan, industri dan pekerja boleh terkesan? Bagaimana ia boleh memberi kesan kepada kita?

“Kita tidak mahu berteka-teki dan berada dalam kesangsian. Sehubungan itu, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) selesai menjalankan kaji selidik mengenai impak AI terhadap pasaran tenaga kerja Malaysia dalam 10 sektor strategik.

“Laporan sedang disediakan itu bakal menunjukkan dapatan mengenai bagaimana dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, peraturan dan kemahiran akan digarap dalam pasaran tenaga kerja Malaysia. Jadi, kita berharap dapat menerbitkan laporan ini tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada sesi eksklusif bersama wartawan tersohor antarabangsa, Mehdi Hassan, sempena Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2024 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

NHCCE 2024 yang dijadualkan berlangsung esok hingga 2 Oktober ini, akan membincangkan secara terperinci berhubung AI dalam tenaga kerja masa hadapan.

Program itu adalah lanjutan daripada kejayaan NHCCE 2023 yang menerima sambutan menggalakkan daripada peserta dari rantau Asia Tenggara.

Mengulas mengenai NHCCE 2024 pula, Sim berharap platform itu dapat digunakan dengan sebaik mungkin untuk mencambah pandangan dan kepakaran dalam isu diketengahkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini