Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
LIMA: Laporan Tahunan Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) akan diteliti dengan sebaiknya sebagai input penting dalam siri perbincangan dasar sepanjang persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di sini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan itu diterima beliau daripada Pengerusi ABAC Malaysia, Datuk Ruben Emir Gnanalingam selepas mempengerusikan mesyuarat pra-majlis sejurus tiba di ibu negara Peru dari Kaherah, Mesir.
“Laporan ini mengandungi aspirasi sektor perniagaan di Ekonomi Asia Pasifik kepada Pemimpin Ekonomi APEC dengan tujuan menyokong pertumbuhan inklusif yang memberi manfaat kepada rakyat, memperkukuh daya saing perniagaan, dan meningkatkan kemakmuran serantau,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pada 15 November ini, Perdana Menteri dijadual menyertai Dialog Pemimpin Ekonomi APEC bersama ABAC.
Selain Ruben selaku moderator, dialog berkenaan akan turut disertai Presiden Vietnam, Lurong Churong bersama wakil ABAC dari Vietnam, Kanada, Papua New Guinea dan Russia.
Terdahulu, pesawat yang membawa Datuk Seri Anwar mendarat di Pangkalan Tentera Udara Peru pada jam 11.15 malam waktu tempatan (12.15 tengah hari waktu Malaysia Rabu, 13 November).
Beliau yang juga Menteri Kewangan akan mengetuai delegasi Malaysia bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-31 yang berlangsung dari 14 hingga 16 November ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.