BANGI: Pelakon remaja yang mendakwa dicabul bapa sepatutnya melaporkan segera kejadian itu kepada polis dan bukan membuka aib mendedahkannya kepada orang ramai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata laporan polis membolehkan pelakon itu mendapat pembelaan undang-undang dan melindunginya daripada sebarang ancaman pada masa akan datang.
“Sepatutnya dalam Islam, dia lebih pentingkan kepada menutup aib sendiri. Sepatutnya, gangguan seperti itu tak perlu didedahkan kepada orang ramai.
“Dia sepatutnya lapor kepada pihak polis. Polis yang bertanggungjawab akan menyiasat kes itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Penguat Kuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia 2022.
Idris mengulas tindakan pelakon berusia 15 tahun itu, yang mendedahkan sikap buruk bapanya ketika ditemubual dalam satu program di YouTube, baru-baru ini.
Pelakon remaja itu mendakwa bapanya melakukan gangguan seksual terhadapnya, selain turut memperlakukan ibunya dengan teruk.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, semalam berkata, beliau bersedia memanggil pelakon terbabit jika ada laporan dibuat.
Katanya, jika dakwaan itu benar berlaku, pihaknya akan memanggil pelakon terbabit serta bapanya untuk disiasat dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Selain itu, menyentuh isu seorang wanita yang didakwa mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram lengkap seperti lelaki, Idris berkata, pihaknya dimaklumkan wanita berkenaan sudah pun pulang ke tanah air.
“Kita belum dapat temui dia. Cuma kita dapat tahu dia sudah balik. Kalau kita tahu (lokasinya) di mana, kita akan arahkan segera pihak berkuasa negeri (panggil dan siasat),” katanya.
Baru-baru ini, tular di Twitter beberapa hantaran mengenai wanita berkenaan, susulan videonya berada di Tanah Suci Makkah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki.
Dalam satu hantaran video yang menunjukkan wanita terbabit menuju ke Raudhah, seorang pengguna Twitter mengesahkan individu berkenaan adalah wanita dan bekas pekerjanya.
Difahamkan wanita berperwatakan lelaki itu ke Tanah Suci dengan menggunakan visa pelancong dan bukan menerusi khidmat agensi umrah. – BERITA HARIAN