Tumpuan :
Nasional

Lapan tong cecair dibuang di parit, disyaki ada gas amonia – JAS

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

SUNGAI BULOH: Lapan tong berisi cecair dipercayai sisa kimia yang dijumpai dibuang dalam parit di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh disyaki mengandungi gas amonia.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS) Nor Aziah Jaafar ketika dihubungi Buletin TV3 berkata, pihaknya sudah mengambil sampel bahan kimia berkenaan untuk dianalisis jabatan kimia.

Tambah beliau, siasatan terperinci sedang dijalankan bersama polis bagi mengenalpasti pihak atau individu yang tidak bertanggungjawab membuang sisa kimia di kawasan tersebut.

“Apa yang berbau tu adalah gas yang dipercayai seperti amonia dimana ia berpotensi menjejaskan kualiti udara disekeliling kawasan sungai tersebut”

Selain Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta JAS, turut terbabit dalam operasi itu adalah Majlis Bandaraya Shah Alam MBSA, Pejabat Tanah dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, (SPAN).

Nor Aziah turut memaklumkan, kerja-kerja pelupusan segera tong yang mengandungi bahan kimia tersebut dilakukan mengikut kaedah bersesuaian dan dilakukan di kawasan yang selamat selepas ianya dibawa naik dari sungai berkenaan.

“Fokus ketika ini adalah untuk kerja-kerja pembersihan dan untuk itu pihak JAS telah meminta bantuan dari kontraktor yang berlesen untuk melupuskan buangan ini secara selamat”

Lapan tong berisi cecair dipercayai sisa kimia itu ditemui selasa lalu sebelum dimaklumkan kepada pihak bomba kira-kira jam 9 malam.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata sepasukan pegawai dan anggota daripada Balai Bomba Penyelamat Sungai Buloh dikerah ke lokasi sejurus dimaklumkan penemuan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini