Tumpuan :
Nasional

Lapan tan al-Quran tenggelam banjir dilupuskan

Timbalan Pengarah JAIP, Datuk Abdul Zaki Md Zain (dua dari kanan) dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Noridzuan Abdul Manan melihat sebahagian lapan tan al-Quran yang ditenggelami banjir pada 2021. – Foto NSTP

KUANTAN: Sebanyak lapan tan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci yang rosak ditenggelami banjir besar tiga tahun lalu dilupuskan dengan cara menanam dalam tanah.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Noridzuan Abdul Manan berkata, al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci yang rosak diterima daripada beberapa kampung dan taman perumahan di Bentong, Temerloh dan Maran.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya melakukan kerja melupus dengan cara membakar menggunakan insinerator atau relau dengan sumber api daripada gas di Kompleks Pemuliaan al-Quran Pahang, Chenor, Maran.

Katanya, setiap kali banjir besar berlaku di Pahang pihaknya akan menerima banyak al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci yang rosak untuk dilupuskan diterima daripada pejabat JAIP daerah.

“Kebanyakan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci basah selepas ditenggelami banjir, untuk dilupuskan ia perlu dikeringkan terlebih dahulu dengan cara menjemur beberapa hari.

“Bagi mengelak berlaku lambakan kita mengambil keputusan untuk melupuskan dengan cara menanam dalam tanah, kaedah berkenaan merupakan kali pertama dilakukan bagi melihat hasilnya,” katanya, dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, hampir setiap tahun pihaknya terpaksa menguruskan kerja melupuskan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci yang rosak selepas ditenggelami banjir.

Dua kompleks pemuliaan al-Quran Pahang di Chenor dan Peramu, Pekan setiap minggu melakukan kerja melupus dengan cara membakar.

Noridzuan berkata, JAIP dengan kerjasama Falkuti Pengurusan Industri Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sedang melakukan kajian pelupusan al-Quran rosak dengan kaedah menanam dalam tanah yang kali pertama dilakukan di negara ini.

Katanya, pelupusan dalam tanah bukan sahaja mudah dan cepat tetapi menjimatkan kos, sebelum ini JAIP telah melupuskan lebih 100 tan bongkah debu al-Quran dengan cara membuang ke laut secara berperingkat.

“Selepas selesai kajian pelupusan dilakukan kita akan menyediakan garis panduan yang boleh diikuti oleh masyarakat Islam yang ingin melakukan pelupusan al-Quran, terutama setiap kali selepas banjir berlaku,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini