comscore
Tumpuan :
Nasional

Lapan lagi individu disyaki ada kaitan dengan lelaki Israel ditahan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lapan lagi individu termasuk tiga warga asing dalam operasi berasingan di ibu kota dan Johor pada Khamis dan Jumaat (4 dan 5 April), bagi membantu siasatan penahanan seorang warga Israel bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel di Ampang pada 27 Mac lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, individu yang ditahan terdiri daripada lima lelaki tempatan, dua lelaki warga Turkiye dan seorang lelaki warga Georgia, berusia antara 29 hingga 60 tahun.

Pihaknya juga telah mendapat perintah reman selama seminggu terhadap semua individu berkenaan, bermula tarikh mereka ditahan.

“Dua lelaki yang ditahan di Johor itu dipercayai berperanan membantu mendapatkan senjata api kepada suspek,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Tan Sri Razarudin berkata, susulan itu, polis turut menahan enam lelaki melibatkan dua warga Turkiye berusia 29 dan 40 tahun dan seorang warga Georgia berusia 39 tahun.

“Salah seorang warga Turkiye yang ditahan memiliki dua pasport dari Poland dan Amerika Syarikat. Tangkapan dibuat dengan kerjasama hasil siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), berhubung aktiviti pembayaran wang kripto yang digunakan bagi membeli pistol,” katanya.

Tan Sri Razarudin berkata, penahanan terbaru itu, menjadikan seramai 16 individu termasuk lelaki warga Israel berkenaan ditahan menerusi operasi khas membabitkan kerjasama dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Kontinjen Kuala Lumpur, JSJK dan Cawangan Khas.

Lelaki warga Israel berumur 36 tahun itu, dikesan masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Mac lepas, dengan menggunakan pasport Perancis.

Enam senjata api yang ditemui di dalam bilik hotel suspek ialah jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru, yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Susulan itu polis kemudian melancarkan operasi dan berjaya menahan empat individu termasuk dua wanita di Skudai dan Gelang Patah, Johor, dan pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun di Kuala Selangor, selain seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun di Cameron Highlands, Pahang yang turut ditahan kerana dipercayai menjadi pemandu kepada lelaki Israel terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini