KLUANG: Tiga lelaki tidak bernasib baik apabila diberkas sewaktu mencuri kabel di sebuah premis di Jalan Pejabat di sini 11.30 pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, suspek dipercayai mencuri kabel sebelum dijual ke kedai besi buruk dan kerugian dianggarkan mencecah RM10,000.
Beliau berkata, hasil saringan urin suspek berusia 20 hingga 32 tahun itu didapati positif methamphetamine dan amphetamine.
“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dan Cawangan Kereta Peronda Polis (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang telah membuat tangkapan suspek tiga lelaki tempatan.
“Hasil semakan mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod bersabit kes narkotik dan suspek ketiga mempunyai satu rekod bersabit kes jenayah, manakala suspek kedua tiada rekod.
“Tahanan reman dibenarkan selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama sepuluh tahun dan denda,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, pada Selasa dan Rabu lalu, sepasukan polis dari BSJ IPD Kluang telah membuat tangkapan berasingan terhadap lima suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian rusuhan di sebuah kedai makan Isnin lalu.
Beliau berkata, suspek lelaki berusia 18 hingga 20 tahun dipercayai merusuh akibat tak berpuas hati mengenai isu yang masih dalam siasatan.
“Suspek dipercayai terbabit dalam kejadian rusuhan di Jalan Bunga Raya, Layang-layang, menerusi satu laporan polis pada 10.37 malam Isnin lalu.
“Suspek ditangkap dalam operasi bermula 2 petang sehingga 1 pagi, di Rumah Murah Layang-Layang, Taman Sri Kluang, dan di Jalan Tebrau, Johor Bahru.
“Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek pertama dan kelima mempunyai satu rekod bersabit kes jenayah, manakala suspek yang lain tiada rekod.
“Saringan ujian air kencing ke atas semua suspek mendapati negatif dadah dan tahanan reman dibenarkan selama empat hari bagi membantu siasatan bermula Rabu lalu,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya.