SERDANG: Kerajaan bersetuju mengurangkan tempoh kelayakan pegawai kontrak perkhidmatan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) ke lantikan tetap kepada 10 tahun berbanding 15 tahun sebelum ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju melonggarkan syarat pegawai lantikan kontrak perkhidmatan yang berkhidmat lebih 10 tahun tetapi kurang daripada 15 tahun untuk dilantik dalam jawatan tetap.
“Dasar ini dipanjangkan juga kepada lantikan kontrak perkhidmatan pada atau sebelum 11 Oktober 2020 yang sebelum ini hanya diluluskan kepada pegawai lantikan kontrak sebelum atau pada 23 Oktober 2015.
“Jadi saya minta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) untuk ambil tindakan segera dengan membuat kajian terhadap perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Perdana Sempena Sambutan 60 Tahun Jabatan Kemajuan Masyarakat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sni, hari ini. – BERITA HARIAN