Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Pelantikan semula bekas ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Pengerusi FELCRA Berhad ditangguhkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Mengenai pelantikan Pengerusi FELCRA, memang sudah dimaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri dan ditangguhkan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri di Perdana Putra di sini.
Pada 16 Disember lalu, Ahmad Zahid memaklumkan, Ahmad Jazlan dilantik semula sebagai Pengerusi FELCRA selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Berhad.
Ahmad Zahid berkata, biarpun Kabinet memutuskan supaya semua jawatan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditamatkan, atas kehendak ahli koperasi itu, pertimbangan bagi lantikan semula berkenaan diberikan.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau tidak pernah menyatakan bahawa tidak boleh mana-mana orang terlibat politik dilantik dalam pengurusan sebagai penjelasan kekeliruan banyak pihak berhubung lantikan politik.
Bagaimanapun, katanya, mereka mesti terikat dengan syarat-syarat dan mempunyai kelayakan dalam bidang berkenaan .
“Itu saya nak jelaskan bahawa ada kemungkinan beberapa tokoh politik atau ahli Parlimen yang ditugaskan tetapi kita menetapkan kaedah dan keupayaan profesional dan prestasi sebelumnya pematuhan kepada peraturan tata kelola yang ditetapkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, keputusan penamatan jawatan lantikan politik dibuat kerana memberi ruang untuk menilai prestasi, selain supaya mereka tunduk kepada garis panduan dan tata kelola yang ditetapkan kerajaan.
“Saya menangguhkan hal ini kerana ada isu-isu seumpamanya ada satu syarikat kerajaan ada syarikat kecil, syarikat induk itu mengalami masalah kewangan dan syarikat kecil itu keuntungan besar. Jadi syarikat kecil itu nak memberikan bonus yang besar. Hal-hal ini kita cerakin dalam peraturan dan garis panduan,” katanya.
Beliau diminta mengulas mengenai keputusan Jemaah Menteri yang dikatakan sudah memutuskan bahawa pengerusi dan ahli lembaga pengarah lantikan politik ditamatkan perkhidmatan serta merta yang dinyatakan dalam dokumen yang ditandatangani Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Ia membabitkan jawatan berkenaan di badan berkanun Persekutuan, syarikat menteri kewangan (Diperbadankan), syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan.