Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin
IPOH: Pelantikan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) akan diteliti semula.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu akan dibincangkan bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Jangan andaikan GLC itu sepertimana yang pernah berlaku sebelum ini, kita syaratkan dia (individu yang dilantik dalam syarikat GLC) jalankan tanggungjawab dan tidak boleh belanja lebih dari yang ditentukan.
“Dan elaun-elaun pun kita hadkan mengikut kelayakan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Sumbangan Rahmah di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Bandar Meru Raya, Ipoh hari ini.
Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, diumumkan sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang baharu menggantikan Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Selain itu, antara yang dilantik dalam GLC ialah bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Pengerusi FELCRA dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi MARA.