TAIPING: Isu kelewatan pelantikan ketua kampung di Perak bukan berpunca daripada masalah pembahagian kuota dalam kalangan parti Kerajaan Perpaduan negeri, menurut Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohammad.
Sebaliknya kelewatan itu jelas beliau, susulan syarat yang diletakkan di peringkat kementerian apabila seseorang ketua kampung mesti bermastautin di kampung berkenaan.
“Oleh kerana pelantikan ketua kampung yang sebelum ini kita hanya ‘tangkap muat’ sahaja maka timbullah masalah seperti ketua kampung tidak mematuhi karakter, individu melepasi had umur, bahkan ada yang mempunyai rekod jenayah.
“Jadi kali ini kita tapis. Pertama, orang itu betul-betul layak dan mematuhi syarat yang digariskan oleh kementerian,” katanya pada sidang media sempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 Siri 4 di daerah Larut, Matang dan Selama di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), di sini, semalam.
Saarani berkata pelantikan ketua kampung tradisi bagi fasa pertama membabitkan kampung di bawah 33 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerajaan, akan selesai sebelum persidangan DUN bermula atau 22 Mei ini.
Katanya, bagi fasa seterusnya membabitkan kampung di semua 26 kawasan DUN pembangkang, pemilihan ketua kampung perlu dibuat dengan teliti memandangkan ia mesti daripada parti kerajaan.
“Perak mempunyai sebanyak 829 kampung tradisi Melayu dengan 158 adalah Kampung Baharu Cina dan tujuh Kampung India dengan pelantikan ketua kampung Cina dan India sudah selesai,” katanya.
Saarani mengakui wujud sedikit masalah dalam pelantikan ketua kampung sebelum ini yang membabitkan tiga parti kerajaan iaitu Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS apabila ada parti kerajaan tidak mempunyai wakil di sesuatu kampung.
“Apabila tiga parti ini sebagai kerajaan, kita hendak bagi supaya semua parti akan merasa jadi ketua kampung. Namun pada waktu itu ada masalah, apabila parti BERSATU tiada (wakil) di semua kampung. Jadi dia (BERSATU) ambil orang kampung A jadi ketua kampung B namun orang kampung B pula tak setuju. Jadi dengan pengajaran itu kita buat pemilihan ketua kampung bagi tahun ini secara berhati-hati.
“Jadi, bukan ada masalah sangat, cuma saya minta supaya kita buat secara berfasa dan berhemah supaya ketua kampung dan ‘kabinet’ kampung itu dapat berfungsi seperti yang sepatutnya,” katanya.