LANGKAWI: Padang bola sepak sintetik bernilai RM3.5 juta yang dibina di Kampung Ulu Melaka, di sini, menjadikan Langkawi pulau pertama di negara ini yang memiliki padang rumput tiruan.
“Pembinaan fasiliti ini memberi manfaat besar dan dilihat selari dengan teras dalam Visi Sukan Negara 2030,” kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Padang Bola Sintetik di Kampung Kumpulan di sini, hari ini.
Beliau optimis padang sintetik itu mampu meningkatkan lagi budaya sukan dalam kalangan penduduk tempatan itu siap dibina pada 2 Januari lalu.
“Projek ini mula dibina pada 2020 menggunakan peruntukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan hari ini kita serahkan kepada Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLPBP) untuk pengurusan.” katanya
Hannah berkata, padang canggih itu diyakini dapat menjadi medan mencungkil bakat baharu di pulau ini untuk diketengahkan sebagai pemain bola sepak daerah, negeri dan kebangsaan pada masa akan datang.
“Ini adalah fasiliti bertaraf moden kedua siap dibangunkan KBS di Kedah selepas pembangunan Pusat Skuasy Kedah di Alor Setar bernilai RM10.8 juta telah diserahkan kepada kerajaan negeri pada Disember lalu.
“KBS kini mengutamakan projek menaik taraf fasiliti sedia ada, kalau (perlu) bina baharu kita akan kaji keperluan di tempat terbabit bagi memastikan tiada pembaziran kerana kos menyelenggara fasiliti seperti ini tinggi,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.