
Oleh: Juliana Sharin
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini antara lain akan membincangkan langkah yang diambil kerajaan Malaysia dalam membantu mangsa di Gaza, Palestin berikutan sekatan oleh Israel terhadap bekalan keperluan asas seperti elektrik, makanan, air dan gas.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, pertanyaan itu akan dibangkitkan Ahli Parlimen, Tan Hong Pin kepada Menteri Luar pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Isu jerebu akibat pembakaran terbuka yang didakwa berlaku di Sumatera juga disenaraikan dalam aturan itu.
Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Idris Ahmad meminta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan akta sedia ada yang mampu dikuatkuasakan kepada negara jiran akibat tindakan yang memberi kesan negatif kepada rakyat Malaysia.
Sementara itu, pada pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan, Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir mengajukan soalan kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan mengenai inisiatif bagi membantu golongan penjaja tanpa premis untuk mendapatkan lesen penjaja dan lokasi berniaga.
Manakala Ahli Parlimen Bnadar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan langkah penguatkuasaan undang-undang dan kesedaran masyarakat mengenai bahaya ancaman siber dengan mengunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menggodam kata laluan, membocorkan maklumat dan menipu pengguna serta mengakibatkan pelanggaran data dan kerugian kewangan.
Usai soal jawab lisan, persidangan diteruskan dengan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-undang Syarikat (Pindaan) 2023.
Persidangan Dewan Rakyat, Penggal Kedua Parlimen Kelima Belas 2023, berlangsung selama 32 hari bermula 9 Oktober hingga 30 November.