Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: ‘Langkah Dubai’ yang didakwa cubaan menjatuhkan kerajaan tidak langsung memberi kesan kepada gerak kerja dan pentadbiran Kerajaan Perpaduan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, tumpuan kerajaan pimpinannya kini adalah soal kerja dalam membangunkan negara dan memastikan kebajikan rakyat terbela.
“Saya ada baca mengenai ‘Langkah Dubai’ di media sosial tapi bagi saya kita tumpu soal kerja. Itu kerja mereka bagi saya tidak beri kesan.
“(Langkah Dubai) itu kerja mereka (namun) bagi saya (ia) tidak memberi kesan (kepada kedudukan Kerajaan Perpaduan). Yang penting, kita dah mula 2 Januari melancarkan satu program penting (Pangkalan Data Utama – PADU) bagi rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran PADU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Sabtu lalu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop dilaporkan mendakwa, ‘Langkah Dubai’ timbul sewaktu percutian pemimpin pembangkang termasuk dari pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.