comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Langkah Dubai: Polis buka kertas siasatan, akan rakam keterangan beberapa individu – KPN 

KUALA LUMPUR: Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan beberapa individu mengenai aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen di negara ini.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husin, sehingga kini sebanyak 43 laporan polis telah diterima di seluruh negara.

“Kita dah buka kertas siasatan, dibawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan, kerana aktiviti-aktiviti perbuatan persediaan yang akan memudaratkan demokrasi berparlimen dan mendatangkan ketidakamanan dan ketenteraman awam.

“Suspeknya (penulis blog kontroversi) Raja Petra Raja Kamarudin di luar negara, bercakap lebih 10 hari tentang nak jatuhkan kerajaan dengan 120 akuan bersumpah (SD), yang kita hairan Raja Petra bercakap kita kena siasat.

“Kalau kata pengerusi mana-mana parti atau setiasuaha agung bercakap, memang ada autoriti bercakap. Ini orang tiada autoriti bercakap seolah-olah apa kerajaan, menteri, Perdana Menteri telah cuba memanggil pelabur datang ke Malaysia (ketika ini) seolah-olah (menyebabkan) pelabur takut,”katanya.

Kes juga jelas Razarudin akan disiasat dibawah Seksyen 233 dan 505 B Kanun Keseksaan.

Selain Raja Petra, turut akan dipanggil memberi keterangan tambahnya, blogger kontroversi Wan Muhammad Azri Wan Deris, Badrul Hisham Shaharin dan Salim Iskandar dalam masa terdekat.

“Kalau sekiranya nak berlaku (seperti didakwa), ketua parti akan mengadap Yang di-Pertuan Agong atau masuk ke Parlimen mengatakan mereka ada sekian nombor (sokongan Ahli Parlimen) atau undi percaya atau tidak percaya.

“Kita akan dapatkan risikan untuk menentukan keamanan Malaysia terjaga memang kita bersedia. Pihak kita akan tentukan maklumat kita ada nak menentukan ketenteraman ini terjaga.

“Kita lakukan siasatan dulu, mungkin kita tak dapat Raja Petra, mungkin kita dapat Papagomo, Chegu Bard, Salim Iskandar (untuk memberi keterangan),”jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Selasa.

Loading...
Terkini