Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Langgar syarat bon PKR: Zuraida diarah bayar RM10 juta

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan bekas naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin membayar ganti rugi RM10 juta kerana melanggar syarat bon parti yang ditandatanganinya enam tahun lalu.

Hakim Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati PKR berjaya membuktikan tuntutannya terhadap Zuraida.

Pada 28 September 2020, PKR, melalui Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution Ismail,  memfailkan saman terhadap Zuraida , mendakwa beliau telah melanggar ikatan kontrak dengan menyertai Bersatu berikutan Langkah Sheraton pada akhir Februari 2020.

Datuk Zuraida Kamaruddin.

Menerusi saman itu, PKR mendakwa Zuraida bersetuju membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Pada 24 Februari 2020, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain mengumumkan peletakan jawatan, namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali Perikatan Nasional (PN).

PKR turut menuntut Zuraida membayar RM12,049,459.20 mengikut Seksyen 71 Akta Kontrak, faedah lima peratus setahun, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Loading...
Terkini