Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan berbincang dengan peguamnya susulan Mahkamah Rayuan mengurangkan bayaran yang dikenakan kepada bekas Naib Presiden parti, Datuk Zuraida Kamaruddin kerana melanggar syarat bon parti itu.
Saifuddin Nasution berkata, pihaknya akan meneliti alasan penghakiman sebelum mengambil tindakan seterusnya.
“Apa yang berbeza dengan keputusan Mahkamah Tinggi adalah dari segi kuantum (jumlah bayaran) tetapi dari segi fakta kes sabitan, semua itu berlaku (langgar syarat bon).
“Ia (Sabitan) dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan bermaksud tindakan PKR mengenakan saman komitmen kewangan itu adalah betul.
“Kami ada satu lagi platform iaitu Mahkamah Persekutuan (untuk rayuan),” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.
Semalam, Mahkamah Rayuan mengarahkan Zuraida hanya perlu membayar RM100,000 daripada jumlah RM10 juta kepada PKR kerana melanggar syarat bon parti itu.
Bagaimanapun, panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk See Mee Chun, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dalam keputusan sebulat suara, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Zuraida telah melanggar syarat bon parti.
Hakim See ketika membacakan penghakiman berkata, pampasan RM10 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Zuraida adalah tidak munasabah.
Pada 23 Jun 2023, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir mengarahkan bekas Ahli Parlimen Ampang itu membayar RM10 juta selepas memutuskan bahawa bon itu kontrak yang sah dan mengikat.
Pada 2020, Saifuddin Nasution yang merupakan Setiausaha Agung PKR ketika itu, bagi pihak parti yang memulakan saman tersebut mendakwa Zuraida melanggar syarat bon yang ditandatanganinya.
Sementara itu, Saifuddin Nasution menyifatkan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu Pulau Batu Puteh ibarat orang lemas yang cuba menyelamatkan diri.
Beliau yang menjawat sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018 berkata, keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan tafsiran Pulau Batu Puteh dibuat sebelum mesyuarat Kabinet berlangsung pada 23 Mei 2018.
“Perkara itu sudah ada keputusan. Kita rujuk kepada turutan fakta seperti mana dalam laporan RCI belum ada mesyuarat Kabinet, satu surat sudah dikeluarkan oleh Tun (Dr Mahathir).
“Jadi ini adalah percubaannya untuk mengheret (anggota Kabinet) macam orang lemas. Orang lemas ini kayu buruk pun dia capai,” katanya.
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mendapati tindakan yang diambil Peguam Cara Negara memaklumkan kepada Singapura bahawa Malaysia tidak berhasrat meneruskan permohonan semakan dan permohonan tafsiran penghakiman kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dibuat bukan berdasarkan keputusan Jemaah Menteri.
Laporan RCI itu menyatakan, keputusan untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan berkenaan adalah berdasarkan surat Mahathir sebagai Perdana Menteri pada 21 Mei 2018 kepada Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek.
Laporan itu berkata, Suruhanjaya mendapati keterangan juga menunjukkan keputusan itu disampaikan kepada Singapura pada pagi 23 Mei 2018, sebelum Mesyuarat Jemaah Menteri bermula pada jam 9.30 pagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.