IPOH: Pegawai kanan polis, Deputi Superintendan (DSP) Mohd Nazri Abdul Razak yang didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie diberi kawalan ketat ketika dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Kehadiran tertuduh, 44, bagi menghadiri prosiding kes berkenaan diiringi lima anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang lengkap memakai topeng muka dan berpakaian gelap.
Kawalan ketat itu menyebabkan petugas media tidak dapat melakukan liputan seperti biasa sebagaimana pesalah lain yang dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Waktu ketibaan sebenar tertuduh juga tidak diketahui kerana pengamal media khususnya jurugambar dan juruvideo yang menunggu seawal jam 7.30 pagi di pintu pagar mahkamah tidak menyedari ketibaan tertuduh.
Tertuduh dilihat memasuki mahkamah dengan tangan bergari, kepalanya ditutup menggunakan kain, berbaju putih dan berseluar hitam.
Pegawai kanan polis, Deputi Superintendan (DSP) Mohd Nazri Abdul Razak yang didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie diberi kawalan ketat ketika dibawa ke Mahkamah Majistret, hari ini. pic.twitter.com/A9hQoh6MI6
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) December 18, 2023
Selepas kira-kira setengah jam berada di kamar mahkamah tertuduh kemudian dibawa keluar.
Pergerakan keluar suspek dari mahkamah juga tidak dimaklumkan sehingga pihak media menyedari sebuah Proton Preve dan Proton Waja meninggalkan mahkamah yang dipercayai membawa tertuduh.
Terdahulu, Mohd Nazri didakwa di Mahkamah Majistret, atas tuduhan membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 12.05 hingga 12.40 tengah hari, pada 15 Disember lalu.
Tertuduh yang berpangkat DSP dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.
Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Langgar maut pelajar: Pertuduhan dikendalikan lapan Timbalan Pendakwa Raya
- [VIDEO] Langgar maut pelajar: Suasana hiba di pekarangan mahkamah
- Langgar maut pelajar: Bapa Zaharif belum jamah makanan sejak peristiwa hitam
- Langgar maut pelajar: Netizen sokong tindakan Jabatan Peguam Negara
- Pelajar maut dilanggar: ’40 minit anak saya merintih depan mata saya’