IPOH: Keputusan ujian air kencing dijalankan ke atas pegawai polis yang ditahan berhubung kematian pelajar berusia 17 tahun akibat dilanggar dan diseret kereta di Jalan Taman Jati disahkan negatif dadah.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, memaklumkan ia diperoleh hasil saringan terhadap lelaki berusia 44 tahun itu selepas dia ditahan kelmarin.
“Saringan ujian air kencing dibuat dan disahkan negatif. Polis juga mengambil sampel darah dan sedang menunggu keputusan pakar patologi,” menurutnya.
Mohd Yusri dalam pada itu meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian negatif berhubung siasatan kes berkenaan terutama di media sosial.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, 15 Disember lalu, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie dimaklumkan dalam perjalanan pulang ke rumah di Chemor dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru.
Difahamkan, sebelum kejadian berlaku, tercetus pertengkaran membabitkan anggota polis tersebut yang memandu Perodua Ativa dan remaja terbabit yang dikatakan membuat bunyi bising menggunakan motosikalnya.
Susulan itu, pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan itu dilaporkan mengejar mangsa hampir satu kilometer sebelum merempuh pelajar terbabit dari arah belakang.
Akibat rempuhan itu, mangsa terjatuh sebelum diseret hampir lima meter dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Hasil bedah siasat terhadap mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati punca kematiannya adalah kecederaan pada bahagian dada dan perut akibat kemalangan itu.
Polis menahan pegawai kanan polis terbabit, pada hari sama dan direman tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Pelajar maut dilanggar: Keluarga mangsa rayu saksi kejadian tampil, buat laporan polis
- Pelajar maut dilanggar: Polis jamin siasatan telus, sedia tukar pegawai penyiasat kes
- Polis siasat calon SPM maut dilanggar lari di depan sekolah
- Pegawai kanan polis langgar mati calon SPM ditahan
- Langgar mati pelajar: Ketua Polis Negara jamin siasatan telus, adil
- Pegawai polis direman kes langgar mati pelajar
- Pelajar maut dilanggar kereta: KPM ziarah keluarga petang ini, tawar kaunseling
- Kes pegawai kanan polis langgar pelajar: Saifuddin mahu polis diberi ruang lakukan siasatan
- Pelajar maut dilanggar: ’40 minit anak saya merintih depan mata saya’