JOHOR BAHRU: Pemandu Perodua Alza warna merah yang terbabit dalam kes langgar lari hingga menyebabkan kematian seorang pejalan kaki di Kilometer 0.5, Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) awal pagi semalam, direman tiga hari.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru, Muhammad Fitri Mokhtar.
Suspek yang berpakaian lokap dan bergari diiringi anggota polis trafik tiba di perkarangan Mahkamah pada jam 8.40 pagi.
Permohonan reman dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Suspek berusia 38 tahun menyerah diri di balai polis jam 3.30 petang semalam, 12 jam selepas kemalangan langgar lari itu berlaku.
Dalam kemalangan itu seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an maut ditempat kejadian selepas cedera parah pada bahagian kepala.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa