comscore
Tumpuan :
Nasional

Langgar lampu merah, penunggang motosikal maut dirempuh kereta

FOTO: Ihsan awam

NILAI: Seorang penunggang motosikal maut selepas dikatakan dirempuh sebuah kereta yang melanggar lampu isyarat merah dekat persimpangan Persiaran Teknologi, Bandar Enstek, di sini, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, nahas kira-kira jam jam 7.40 pagi itu menyebabkan mangsa seorang lelaki berusia 53 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Berlaku kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan iaitu antara motosikal jenis Honda Vario yang ditunggang seorang lelaki denga kereta jenis Perodua Aruz yang dipandu seorang wanita berumur 39 tahun.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian pemandu Perodua Aruz dalam perjalanan dari arah Tiara Sendayan menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Pemandunya dipercayai gagal berhenti ketika lampu isyarat merah di persimpangan itu lalu melanggar penunggang motosikal yang datang dari arah sebelah kanan,” katanya.

Tambahnya, akibat kemalangan, penunggang Honda Vario yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

“Manakala pemandu Perodua Aruz mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai boleh salurkan sebarang maklumat ke Pusat Kawalan Daerah Nilai, 06-7904389atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai, Inspektor Muhammad Farid Danial Azli di talian 012- 9122198 bagi membantu siasatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini