Tumpuan :
Nasional

Langgar lampu isyarat: Warga Pakistan rempuh penunggang motosikal direman

Tangkap layar dari video tular kemalangan terbabit.

HULU SELANGOR: Langgar lampu isyarat merah sebelum merempuh dan menyeret seorang penunggang motosikal hingga mati.

Insiden mengerikan berlaku di lampu isyarat Jalan Azalea 1/1 Sungai Choh, Serendah, di sini, 6 petang kelmarin, tular di media sosial hingga mencetuskan simpati ramai.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, pemandu kereta Proton Wira berkenaan dikenal pasti warga Pakistan berusia 50 tahun itu.

Menurutnya, lelaki itu ditahan reman empat hari bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan.

“Lelaki warga asing itu mempunyai lesen memandu dan dalam perjalanan pulang ke Bukit Rawang Jaya selepas bertemu dengan rakannya di kilang Perodua.

“Mangsa berusia 48 tahun dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Sentosa di sini,” katanya.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

“Punca kematian penunggang motosikal itu masih dalam siasatan. Kedua-dua kenderaan ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini