Tumpuan :
Nasional

Langgar kod etika hakim: Tetuan Shafee & Co perlu kemuka permohonan rasmi – Azalina

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR: Laporan berhubung pelanggaran kod etika hakim membabitkan Datuk Mohd Nazlan Ghazali sudah dikemukakan kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada Februari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pelanggaran itu dikenal pasti menerusi kesimpulan dikemukakan dalam Laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, laporan bertarikh 21 Februari lalu, mendapati Hakim Mahkamah Rayuan itu melanggari peraturan di bawah Kod Etika Hakim 2009 dengan dokumen berkenaan turut dikemukakan kepada Tengku Maimun pada hari sama.

“Saya sudah memberikan jawapan secara lisan di Dewan Rakyat bagi soalan dibangkitkan Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengenai isu kebocoran penyiasatan SPRM berkaitan kes Mohd Nazlan dan hasil siasatan SPRM, pada 23 Februari lalu.

“Saya juga sudah memaklumkan dalam Dewan Rakyat bahawa perkara ini tertakluk kepada keputusan Ketua Hakim Negara (Tengku Maimun), selaras Fasal 3 dan 3A Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Media baru-baru ini, melaporkan salinan surat didakwa daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kepada Tengku Maimun, tular di media sosial.

Surat berkenan tular beberapa hari selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membuat semakan ke atas sabitan dan hukuman dikenakan terhadap bekas Presiden UMNO itu.

Pada 24 Februari lalu, media melaporkan, panel tujuh Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tengku Maimun, berkata SPRM tidak mengikut protokol ketika menjalankan siasatan terhadap Mohd Nazlan.

Tengku Maimun dalam penghakimannya berkata, agensi penyiasat seperti SPRM perlu berunding dengan Ketua Hakim Negara sebelum memulakan siasatan terhadap hakim mahkamah atasan.

Pada Julai 2020, Mohd Nazlan yang ketika itu Hakim Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC serta memerintahkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu dipenjara selama 12 tahun serta didenda RM210 juta.

Sementara itu, Azalina berkata, pihaknya menerusi jawapan balas kepada surat Tetuan Shafee & Co adalah selaras dengan jawapan dikemukakan di Dewan Rakyat, sebelum ini.

“Fakta yang saya sedia maklum berkenaan dengan perkara ini dalam melaksanakan tanggungjawab saya selaku anggota pentadbiran kepada Parlimen.

“Saya juga sudah meminta Tetuan Shafee & Co untuk mengemukakan permohonan secara rasmi terus kepada pihak SPRM, jika berhasrat untuk mendapatkan hasil siasatan berkenaan perkara ini.

“Seperti saya tegaskan di Dewan Rakyat sebelum ini, apa-apa perkara berkaitan ini adalah di bawah bidang kuasa Badan Kehakiman. Kerajaan sentiasa menghormati dan terus berpegang kepada prinsip doktrin pengasingan kuasa,” kata Ahli Parlimen Pengerang itu.

Loading...
Terkini