Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
KUALA LUMPUR: Peraturan jalan raya jelas menetapkan fungsi setiap lorong, namun masih ada segelintir pengguna yang memandu secara tidak bertanggungjawab sehingga mengganggu kelancaran lalu lintas.
Antara kelakuan yang sering dikesan ialah memandu perlahan di lorong tengah atau lorong kanan yang sepatutnya dikhaskan untuk kenderaan memotong atau bergerak laju. Sikap ini, dikenali sebagai lane hogging, bukan sahaja menyusahkan pengguna lain, malah meningkatkan risiko kemalangan.
Bagi Norzaini Rakimen, seorang pekerja swasta, tabiat itu sangat mengganggu.
“Ini adalah satu keadaan yang sangat menyusahkan orang. Saya rasa memang tak selesa, dan patutnya kalau kita memandu secara perlahan, kita berada di lorong kiri sekali,” katanya.
Nada sama disuarakan Misjalena Razemi yang menegur sikap pentingkan diri oleh beberapa pemandu.
“Pengguna jalan raya perlu tahu di mana sepatutnya kedudukan kita di jalan raya. Jangan pentingkan diri sendiri,” tegasnya.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, sikap lane hogging adalah tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan tegas.
“Jika pemandu ingin mengurangkan kelajuan, mereka hendaklah beralih ke lorong kiri untuk memberi laluan kepada pemandu lain agar perjalanan dapat diteruskan dengan lancar,” katanya.
Tambahnya, tindakan saman dan kompaun antara RM300 hingga RM2,000 boleh dikenakan kepada pemandu yang didapati bersalah.
Kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati lane hogging sering berpunca daripada kurangnya kesedaran pengguna tentang fungsi lorong serta tabiat memandu yang tidak berdisiplin.
Pegawai Penyelidik Kanan MIROS, Norfaizah Mohamad Khaidir, menjelaskan bahawa ramai pemandu beranggapan mereka berhak menggunakan lorong laju selagi mereka tidak memandu melebihi had laju.
“Jika ditanya, rakyat Malaysia tahu bahawa memandu melebihi had laju adalah salah, tetapi ramai tidak sedar bahawa memandu perlahan di lorong laju juga satu kesalahan,” katanya.
Kesedaran mengenai kepentingan mematuhi fungsi lorong amat penting untuk memastikan keselamatan dan kelancaran trafik. Justeru, pengguna jalan raya disarankan lebih berdisiplin dan bertimbang rasa ketika memandu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.