comscore
Tumpuan :
Nasional

Landskap lokasi pokok tumbang baharu diselenggara dua minggu lalu

KOTA BHARU: Majlis Daerah Ketereh – Bandaraya Islam (MDK-I) baharu melakukan kerja-kerja menyelenggara landskap di sekitar kawasan kemalangan membabitkan tiga maut akibat dihempap pokok di Kampung Bukit Cina, Kok Lanas, di sini, malam semalam.

Penyelia Unit Khidmat Bandar MDK-BI, Muhammad Iqrar Hashim berkata, pihaknya menjalankan kerja-kerja memotong dan menyelenggara pokok di Jalan Machang-Kota Bharu sepanjang satu kilometer termasuk di lokasi kejadian, kira-kira dua minggu lalu.

“Kita dapati pokok yang tumbang adalah jenis Tunjuk Langit yang berusia kira-kira 40 tahun.

“Hari ini kita laksanakan kerja-kerja membersih kawasan kemalangan sejak 8.30 pagi membabitkan 15 pekerja, manakala akan disambung petang ini bagi memotong baki batang pokok,” katanya ketika ditemui di lokasi kemalangan, hari ini.

Artikel berkaitan: Pokok tumbang menimpa kenderaan, tiga disahkan maut

Difahamkan, pokok berkenaan didapati masih sihat dan kukuh, namun dipercayai tumbang akibat hujan lebat dan ribut yang berlaku ketika kejadian.

Turut hadir, Penyelia Landskap MDK-BI, Azman Saad.

Muhammad Iqrar berkata, pokok-pokok besar yang terdapat di laluan itu termasuk sekitar kawasan kemalangan ditanam oleh pihak lain.

Menurutnya, kerja-kerja menyelenggara landskap dilaksanakan dua kali sebulan oleh pihaknya membabitkan pemotongan pokok-pokok mati mengikut jadual giliran di kawasan sempadan.

Katanya, MDK-BI sentiasa memantau landskap terutama di laluan utama seperti jalan raya dan kawasan perumahan.

Dalam kejadian 8 malam tadi, Nik Amirah Ab Rahman, 40, dan suami Nik Mohd Zulmi Ramli, 44, serta anak mereka, Nik Aishah Azzahra, 5, tahun maut apabila kereta Nissan Sentra yang dinaiki dihempap pokok itu.

Manakala, dua lagi anak mereka, Nik Adilia Zulaikha, 11, dan Nik Adam Zharif, 9, cedera sementara lima sekeluarga yang menaik kereta Honda City terselamat.

Loading...
Terkini