Tumpuan :
Nasional

Landasan ECRL Maran ke Kota Bharu siap awal

FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Kerja pemasangan landasan sepanjang kira-kira 400 kilometer bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) membabitkan jajaran utama dari Maran, Pahang hinggake Kota Bharu, siap lebih awal daripada dijadualkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata pencapaian itu menunjukkan pasukan yang terbabit dengan projek mega terbabit berada di landasan baik.

“Kerja pemasangan landasan sejauh 400 kilometer ini siap dua bulan setengah lebih awal dan ia adalah signifikan kerana membabitkan pemasangan landasan utama.

“Kejayaan pemasangan landasan ECRL didokong oleh penggunaan teknologi termoden dan canggih dari China serta memaparkan dedikasi dan kerjasama erat pasukan ECRL di sepanjang jajaran relnya.

“Projek ECRL mencatat pencapaian penting dalam pemasangan landasan, apabila fasa pertama hingga fasa ketiga dilaksanakan dengan lancar sekali serta mendahului jadual asal,” katanya kepada pemberita di Stesen ECRL Kota Bharu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Darwis berkata, projek ECRL mencatatkan kemajuan keseluruhan sebanyak 77.39 peratus setakat Disember lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026 serta bakal beroperasi pada Januari 2027.

Katanya, projek ECRL dapat mempercepatkan pembinaan sistem elektrifikasi, semboyan dan telekomunikasi untuk jajaran ECRL di Kelantan memandangkan pemasangan landasan sepanjang 43.86 kilometer di negeri itu berjaya siap sepenuhnya hari ini.

“Dengan siapnya landasan sepanjang 400 kilometer yang menghubungkan Maran dan Kota Bharu ini, kerja pemasangan landasan Fasa 4 kira-kira 100 kilometer dari Maran ke Bentong dapat disiapkan secepat mungkin,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Darwis berkata, pembinaan jajaran ECRL di Kelantan amat memuaskan dan mencapai kemajuan sebanyak 87.8 peratus setakat Disember 2024.

Loading...
Terkini