comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Lan Berambeh’ satukan lebih 6,500 anak Sarawak 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

KUALA LUMPUR: Lebih 6,500 anak Sarawak yang berada di semenanjung berhimpun bagi memeriahkan program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2023 di ibu negara.

Program yang memasuki edisi ke-14 itu bertujuan memberi peluang kepada belia Sarawak mempamer bakat dalam aktiviti kesukarelawanan serta menyerlahkan kepemimpinan.

Selain mengeratkan perpaduan dalam kalangan anak Sarawak yang menetap di semenanjung.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pengelola LBAS Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penganjuran kali ini pada skala yang lebih besar dan terbuka kepada semua rakyat Sarawak yang berada di semenanjung serta orang awam.

“Lebih utama untuk mereka memahami perancangan besar kerajaan negeri Sarawak dan bagaimana mereka sebagai seorang pelajar dapat memainkan peranan serta dapat mengisi ruang dan peluang yang dimainkan oleh kerajaan.

“Kalau kita beralih kepada teknologi baharu, kita memerlukan tenaga mahir dan kita bergantung harap kepada anak-anak muda kita yang belajar sekarang ini untuk mengisi ilmu kemahiran dan bila keluar nanti, mereka akan dapat mengisi segala ruang dan peluang yang diwujudkan kerajaan dalam teknologi baharu,” katanya.

Lebih 100 reruai pameran diadakan yang meliputi peluang pekerjaan, pendidikan, biasiswa serta jualan produk Sarawak dalam program selama sehari ini.

Tambahnya, orang ramai yang mengunjungi LBAS perlu mengambil peluang memahami perancangan besar diusahakan kerajaan Sarawak melalui pameran yang dianjurkan.

Beliau turut menjangkakan 10,000 pengunjung akan hadir bagi memeriahkan program LBAS 2023, sama seperti tahun lepas.

Pelajar universiti awam, Andrian Russel

Pelajar universiti awam, Andrian Russel 20, berkata ia adalah medium pertemuan antara mahasiswa mahasiswi Sarawak seluruh semenanjung.

“Dalam pada itu, saya melihat penganjuran program ini juga sebagai satu medium untuk kami mendapatkan informasi yang mungkin selama ini ada yang terlepas,” ujarnya.

Pelajar universiti awam, Adailton Melvin Marko

Pelajar jurusan pengurusan sukan Adailton Melvin Marko, 20, pula berpendapat, program berkenaan sebagai pengantara hubungan antara belia dan pemimpin dari negeri itu.

“Saya mengharapkan agar para pemimpin dapat mendengar suara kami untuk mempelbagaikan insentif kepada anak-anak Sarawak yang belajar di semenanjung ini, contohnya tiket penerbangan dan biasiswa,” ujarnya.

Antara pengisian lain ialah sembang santai wakil rakyat Sarawak, Dialog Belia 60 tahun Sarawak Merdeka, Sesi Town Hall Sarawak Agenda Bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan acara kemuncak Majlis Makan Malam Anak Sarawak.

Loading...
Terkini