TAMPARULI: Sembilan daripada 28 lampu solar yang disediakan kerajaan untuk menerangi laluan mendaki Bukit Perahu, di sini, lesap dipercayai dikebas pencuri.
Sebelum ini, ada 28 lampu solar dipasang pada 12 tiang sepanjang laluan mendaki, manakala empat biji lagi berada pada dua tiang di puncak, berfungsi dengan baik selama lebih setahun.
Malangnya kemudahan yang dibiayai kerajaan negeri itu dikesan mula lesap sejak pertengahan tahun lalu.
Kes kehilangan pertama membabitkan enam lampu solar .
Kehilangan itu disedari beberapa pendaki tegar puncak tertinggi di Tamparuli itu, yang kemudiannya memaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ekoran itu, anggota polis kerap melakukan rondaan di kawasan berkenaan untuk membanteras jenayah itu.
Namun, ketika tiada rondaan, kegiatan itu berulang.
Terbaharu, tiga lagi lampu solar di bukit itu disedari hilang, apabila yang tinggal hanya tiang.
Seorang pendaki Jean Jerry, 31, menyedari perkara itu ketika melakukan pendakian ke puncak itu wal pagi Ahad.
“Saya menyedari kehilangan terbaharu lampu solar pada beberapa bahagian laluan itu, kerana suasana laluan berkenaan gelap berbanding sebelum. Sewaktu mendaki Bukit Perahu pada Jumaat dan Sabtu, lampu solar yang hilang itu masih ada menerangi laluan yang gelap,” katanya.
Beliau percaya ada individu yang berpura-pura mendaki bukit itu, bertujuan mengambil lampu solar yang ada ketika suasana sunyi dan tiada pendaki lain.
Timin Liun, 45, berkata kemudahan itu, sepatutnya dijaga bersama oleh pengunjung tempat pelancongan terkenal di daerah ini.
“Dengan ketiadaan lampu solar pada beberapa bahagian laluan gelap itu, boleh memberi risiko bahaya kepada pengunjung yang mendaki malam atau balik pada waktu gelap. Saya menyifatkan individu yang mengambil kesempatan mencuri lampu solar itu sebagai pendek akal dan terdesak mencari wang,” katanya.