SEPANG: Berang lambat keluar selepas membeli makanan dipercayai punca seorang lelaki menampar isterinya dalam satu video tular di sebuah pusat beli-belah di Kota Warisan, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, suspek berusia 50-an direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
“Suspek dibenarkan reman selama tiga hari oleh Mahkamah Majistret Telok Datok bermula hari ini, suspek dipercayai tidur di dalam kereta selama menghilangkan diri.
“Kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa yang juga isteri suspek lambat keluar daripada pusat beli-belah terbabit selepas membeli nasi ayam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu media melaporkan, lelaki yang menampar isterinya di pusat beli-belah di sekitar Kota Warisan, di sini, sehingga tular di media sosial ditahan.
Norhizam dilapor berkata, lelaki berusia 50-an itu ditahan di hadapan sebuah klinik di Kota Warisan jam 10 pagi semalam.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Sebelum ini media melaporkan tindakan seorang lelaki menampar isterinya membawa padah selepas tindakannya itu secara tidak sengaja dirakam dalam satu video ‘live’ di media sosial.
Norhizam dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada adik kepada wanita yang ditampar dalam video berkenaan.
Terdahulu satu rakaman video ‘live’ berdurasi 29 saat tular memaparkan seorang wanita berjalan keluar dari pusat beli-belah terbabit sambil memegang plastik di tangan kirinya.
Setibanya di pintu keluar premis terbabit, wanita itu tiba-tiba berhenti sejurus melihat kehadiran suspek yang bertopi dan berjalan ke arahnya, sambil memegang tangan seorang kanak-kanak.
Secara tiba-tiba, lelaki berkenaan menampar wajah wanita itu di khalayak ramai sambil mengatakan sesuatu ke arah mangsa, lalu tanpa banyak soal wanita itu dilihat keluar dari premis terbabit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.