comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Lambakan sayur import, pekebun Lojing buang ribuan tan sayur


Oleh Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi

GUA MUSANG: Lambakan bekalan sayur import dari luar negara sehingga menjejaskan harga di pasaran menyebabkan 500 pekebun di Tanah Tinggi Lojing terpaksa membuang ribuan tan sayur yang tidak terjual.

Masalah berlaku apabila pengeluaran sayur tempatan kini meningkat selepas berakhir musim tengkujuh, namun bekalan import didakwa masih dibawa masuk ke negara ini.

Tinjauan wartawan TV3, Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi di Lojing mendapati sayur terbuang kini menjadi rezeki gajah liar.

Situasi hasil tanaman segar terbuang kini berulang selepas keadaan sama berlaku ketika pandemik COVID-19 menyebabkan 60 peratus hasil tanmaan sayur dan bunga di Tanah Tinggi Lojing ketika itu tidak dapat dijual.

Pekebun sayur setiap hari terpaksa membuang hasil tanaman kerana tiada permintaan setelah peniaga memilih untuk menjual sayur import termasuk dari Thailand dan China.

Longgokan ribuan tan sayur-sayuran ini turut mengundang kehadiran haiwan termasuk gajah liar.

Menurut Bendahari Persatuan Penanam Bunga dan Sayur Bumiputera Tanah Tinggi Lojing, Rahimi Ibrahim menyeru pihak berwajib segera menangani masalah itu bagi mengelakkan pekebun gulung tikar kerana menanggung kos pengeluaran yang tinggi.

“Timun jepun ni 30 sen satu kilogram, tomato gred A ni RM1 sekilogram kalau kerajaan tak pantau naya gulung tikarlah penanam sayur di lojing”, katanya.

Sementara itu, pengusaha sayur Koy See Feng pula menyatakan situasi sama berlaku bagi pengusaha di sekitar Cameron Highlands.

“Sekarang cuaca baik lokal. Saya ada banyak sayur tapi kerajaan masih bagi Thailand punya sayur masuk, China punya sayur masuk. Ini menjadikan sayur terlalu banyak, jadi pasaran tak boleh makan semua barang lah, terpaksa kita buang harga lah, kasi harga murah sikit,” katanya.

Harga sayur berdaun terlampau murah tidak sampai RM1 sekilogram sejak dua minggu lalu, menyebabkan ia diedarkan secara percuma termasuk kepada badan kebajikan.

Sementara itu, bagi pengusaha sayur M. Karthik pula, sayuran tempatan sepatutnya menjadi pilihan kerana lebih segar dan berkualiti tinggi.

“Kita tak masuk kasi barang Malaysia, ini tidak kita sekarang ambil import punya dulu sebab kita sini chemical (bahan kimia) tak boleh tinggi macam Singapura kena control (kawal) di test (cuba) chemical di reject (disingkir) terus, ban (dilarang) terus company (syarikat),” ujarnya.

Justeru, pengusaha terbabit menyeru Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKN) mengurangkan sayur import, kerana bekalan sayur tempatan telah stabil.

Peningkatan pengeluaran menyebabkan harga sayur tempatan turun antara 30 hingga 60 peratus sejak Februari lalu, sebelum terus jatuh pada harga yang merugikan pekebun.

Loading...
Terkini