KUALA LUMPUR: Kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini antara punca jumlah kematian akibat penyakit tibi pada 2022 meningkat 12 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, mereka dipercayai membawa penyakit itu masuk dari negara asal masing-masing.
Katanya, pekerja asing yang mempunyai permit sah mempunya insurans dan membuat pemeriksaan perubatan sebelum masuk ke mana-mana negara untuk bekerja.
“PATI pula masuk secara haram ke negara ini secara beramai-ramai dan sudah pasti tidak membuat pemeriksaan perubatan.
“Apabila pekerja yang mempunyai penyakit tibi bekerja di negara ini dan bercakap dengan orang, ia menyebarkan penyakit itu kerana tibi mudah merebak melalui udara dan juga apabila terkena tempias air liur.
“Oleh itu, mereka yang selalu bercakap dengan pesakit tibi ini lebih berisiko mendapat penyakit ini,” katanya kepada BH, hari ini.
Media melaporkan, jumlah kematian akibat penyakit tibi di negara ini pada 2022 adalah 2,572 kes dengan kadar kematian 7.9 setiap 100,000 penduduk.
Jumlah itu meningkat 284 kematian (12 peratus) berbanding 2,288 kematian dengan kadar kematian 6.9 peratus setiap 100,000 penduduk pada tahun sebelumnya.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, jumlah kes penyakit tibi dalam negara pada tempoh sama juga meningkat 3,664 kes berbanding tahun sebelumnya.
Mengulas lanjut mengenai faktor lain penyakit tibi, Dr Sharifa Ezat, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) ada merangka program kawalan tibi yang mantap, namun kerana pandemik COVID-19, operasi di lapangan kurang mendapat sambutan.
Katanya, ketika tempoh itu tidak ramai membuat pemeriksaan selain ramai pesakit tibi gagal datang mengambil ubat sekali gus menyebabkan mereka putus bekalan ubat.
“Rawatan tibi mengambil masa antara empat hingga enam bulan dan memerlukan pesakit datang setiap hari ke fasiliti perubatan untuk dipantau dan diberi ubat secara terus atau dibenarkan makan ubat di rumah.
“Jadi apabila terputus bekalan ubat kerana tidak dapat datang ke fasiliti perubatan, penyakit mereka akan aktif semula,” katanya.
Faktor lain pula kerana golongan berisiko tinggi atau komorbid berikutan penyakit yang dihidapi seperti kencing manis, darah tinggi dan obesiti.
Katanya, jika ada penyakit lain termasuk barah, ia akan menyebabkan anggota badan menjadi lemah sekali gus mudah dijangkiti tibi.
Beliau mengakui, tibi adalah penyakit berjangkit yang susah dirawat sejak dahulu lagi dan walaupun sudah mendapatkan rawatan, pesakit berisiko mendapat semula penyakit sama.
Katanya, berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), risiko pesakit mendapat semula tibi walaupun selepas mendapatkan rawatan adalah 5.6 peratus.
“Antara punca tibi aktif semula dalam badan walaupun sudah dirawat adalah mendapat penyakit lain seperti kencing manis, tidak mendapatkan rawatan seperti ditetapkan, strok dan pelbagai lagi.
“Namun ia juga bergantung kepada tahap imuniti seseorang itu dan jika sihat, tibi tidak akan aktif,” katanya.
Justeru beliau berkata, selain penggunaan pelitup muka, setiap individu perlu ada kesedaran dan jika mendapati dirinya batuk berpanjangan melebihi dua hingga tiga minggu, perlu mendapatkan rawatan.
Katanya, selain batuk berpanjangan, simptom lain tibi termasuk demam dan berpeluh pada waktu malam.
“Jika ada simptom sedemikian dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan dan terdapat ujian ringkas untuk memeriksa penyakit itu seperti ujian calitan kulit, kahak, x-ray pada paru-paru dan sebagainya.
“Jika disahkan mendapatkan tibi, pastikan mendapatkan rawatan lengkap berikutan ramai yang mengambil ubat separuh jalan kerana menyangka apabila sudah pulih batuk, penyakit juga sudah pulih,” katanya.