comscore
Tumpuan :
Nasional

Lambakan lipas, najis tikus punca 9 premis diarah tutup

Pemeriksaan dilakukan Unit Inspektorat dan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu di bahagian dapur salah sebuah restoran dalam operasi bersepadu di sekitar PCC Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Lambakan lipas dan najis tikus di bahagian dapur antara punca sembilan restoran di kawasan Polytechnic Commercial Centre (PCC), di sini diarahkan tutup menerusi Operasi Bersepadu Akta Makanan 1983 yang dilaksanakan semalam.

Operasi diketuai Unit Inspektorat dan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu itu turut mengeluarkan 11 notis kepada pemilik atau wakil premis serta pengendali makanan atas pelbagai kesalahan lain.

Menurut Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Dr Prabakaran Dhanarah operasi itu dilaksanakan bagi memastikan premis makanan sentiasa mematuhi peraturan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“15 premis makanan telah diperiksa dan sembilan daripadanya telah diarahkan tutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

“Selain itu, 11 notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan kerana kegagalan mendaftarkan premis makanan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pengendali makanan tidak menjalani latihan pengendali makanan, tiada suntikan anti-tifoid dan pakaian pengendali makanan serta kegagalan mematuhi kehendak berhubung dengan kewajipan mengekalkan premis bersih dan bebas daripada sampah, makhluk perosak seperti tikus dan lipas,” katanya selepas menyertai operasi itu.

Selain itu, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang turut serta operasi berkenaan juga mengeluarkan notis kompaun terhadap premis yang diperiksa.

“Kedua-dua agensi masing-masing mengeluarkan 13 dan satu kompaun atas pelbagai pelanggaran undang-undang yang dilakukan oleh pemilik premis,” katanya.

Pihak kesihatan akan terus menjalankan aktiviti pemeriksaan terhadap premis makanan di seluruh Bandaraya Kota Kinabalu bagi melindungi orang ramai terhadap bahaya kesihatan dan keselamatan makanan.

Loading...
Terkini