comscore
Tumpuan :
Nasional

Lambakan calon tunggu lesen memandu, MOT tubuhkan ‘task force’

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Satu task force akan ditubuhkan bagi mengatasi masalah lambakan calon yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan lesen memandu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pasukan berkenaan akan dianggotai MOT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurutnya, sejak tahun lalu dan semasa pandemik COVID-19 terdapat banyak kes permohonan pelajar untuk mendapatkan lesen memandu masih tertangguh.

“Ada yang menunggu berbulan-bulan untuk menduduki ujian. Saya sudah arahkan MOT untuk melihat cara yang boleh kita bantu untuk cepatkan proses ujian memandu.

“Semasa dialog dengan Institut Memandu (IM), perkara ini turut dibangkitkan dan kementerian mengambil berat untuk mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan,” katanya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke 3 Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia di sini hari ini.

Setiap tahun dianggarkan kira-kira 600,000 pelajar mendaftar ujian memandu bagi mendapatkan lesen lesen motosikal kelas B2 dan D.

Anthony berkata, kementerian juga meluluskan permohonan IM untuk memanjangkan tempoh had kenderaan ujian memandu sedia ada daripada lima tahun kepada 10 tahun namun pelaksanaannya dijangka akan diumumkan dalam tempoh dua bulan lagi.

Menurutnya, secara dasar selepas lima tahun kenderaan itu tidak boleh digunakan namun kementerian mengambil satu pengimbangan untuk membantu industri kerana semasa dua tahun berdepan pandemik COVID-19 kenderaan itu tidak dapat digunakan.

Katanya, sekiranya undang-undang itu diteruskan, ia akan menambah beban kepada industri untuk membeli kenderaan baharu.

“Kementerian meletakkan tanggungjawab keselamatan kepada pihak industri dan sekiranya mereka gagal menjaga kenderaan dan berlaku kemalangan MOT tidak akan teragak-agak mengambil tindakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain Anthony berkata, kementerian turut meluluskan permohonan pihak IM untuk mengecualikan pemeriksaan kenderaan berkala di PUSPAKOM daripada enam bulan sekali kepada setahun manakala bagi kenderaan baharu pemeriksaan diadakan pada tahun ketiga sehingga mencapai usia 10 tahun.

Jelasnya, dasar-dasar penambahbaikan itu sedikit sebanyak dapat membantu industri menghadapi keadaan ekonomi yang mencabar.

Loading...
Terkini