GUA MUSANG: Lebih 1,000 masyarakat Orang Asli yang menggunakan laluan dari Pos Balar ke Pos Hau mendakwa terpaksa berdepan permukaan jalan rosak, berlubang serta runtuh hanya selepas lebih sebulan laluan itu diselenggara.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Balar Hanan Anjang, 37, berkata laluan lebih 10 kilometer itu merupakan jalan utama kepada masyarakat suku kaum Temiar di penempatan terbabit.
Namun beliau berkata penyelenggaraan yang dilakukan tidak bertahan untuk jangka masa yang lama apabila kerosakan yang lebih teruk berlaku.
“Selain motosikal, hanya kenderaan pacuan empat roda sahaja yang melalui jalan ini setiap hari untuk membawa pesakit ataupun pelajar sekolah ketika sesi persekolahan. Jalan ini langsung tidak dilalui oleh kenderaan berat.
“Saya berharap selepas ini jika ada peruntukan daripada kerajaan untuk baik pulih jalan, amanah yang diberikan itu dapat dilakukan lebih baik,” katanya ketika ditemui pemberita di Pos Balar, di sini hari ini.
Seorang penduduk di penempatan itu, Nen Aja, 27, berkata dia yang menggunakan motosikal terpaksa menghabiskan lebih banyak masa untuk keluar ke bandar.
Menurutnya keadaan itu juga menyukarkan mereka untuk melakukan apa jua urusan di luar penempatan, malah ada kalanya terpaksa bermalam di dalam hutan.
“Kebiasaannya kami hanya mengambil masa empat jam untuk ke bandar Gua Musang tetapi kini perjalanan boleh memakan masa sehingga tujuh jam.
“Kalau waktu hari hujan pula perjalanan mengambil masa 12 jam,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berharap pihak kontraktor yang terlibat mengambil langkah yang sewajarnya dan memantau projek yang telah dilaksanakan.
“Projek di kawasan pedalaman ini perlu dilaksanakan dengan lebih serius untuk menjaga peruntukan kerajaan, ini kerana ratusan ribu telah dibelanjakan tetapi jalan masih tidak boleh digunakan,” katanya. — BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.