Tumpuan :
Nasional

Laluan Persekutuan jadi tumpuan kenderaan menghala utara

Anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim mengawal lalu lintas di simpang lampu isyarat dekat susur keluar di Plaza Tol Slim River menjadi lancar. – Foto: NSTP

SLIM RIVER: Jumlah kenderaan yang menggunakan Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur arah utara, semakin meningkat berikutan ramai warga kota mula bercuti dan pulang ke kampung halaman menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

Walaupun bilangan kenderaan semakin meningkat, namun aliran trafik ke arah utara mahu pun selatan masih lagi berjalan lancar.

Tinjauan kira-kira jam 10.00 pagi tadi, mendapati pengguna di Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara mula melencongkan kenderaan mereka memasuki jalan Persekutuan.

Pengguna PLUS menggunakan susur keluar di Plaza Tol Tanjung Malim, Behrang dan Slim River untuk mengguna jalan Persekutuan sebelum memasuki semula PLUS di susur masuk di Plaza Tol Sungkai, Bidor atau Tapah.

Jumlah kenderaan di jalan Persekutuan terutama ke arah utara dijangka terus meningkat menjelang petang nanti.

Manakala , di simpang susur keluar Plaza Tol Slim River kelihatan anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Muallim sedang bertungkus lumus memastikan aliran trafik berjalan lancar.

Kesesakan aliran trafik di simpang terbabit berikutan pengguna PLUS mengambil langkah mengelakkan kesesakan yang dipercayai berlaku di lebuh raya.

Kehadiran anggota polis trafik menyebabkan aliran trafik di jalan persekutuan arah utara berjalan lancar. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini