SHAH ALAM: Tapak rekreasi popular Bukit Broga, Semenyih yang terbakar malam tadi, akan ditutup sementara bermula hari ini.
Jabatan Perhutanan Selangor menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, penutupan sementara membabitkan laluan pendakian kawasan itu.
“Ia akan ditutup sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya, di sini.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail dilaporkan berkata, kebakaran itu membabitkan kawasan puncak bukit berkenaan seluas 0.8 hektar.
Seramai 64 orang terbabit dalam operasi itu terdiri daripada 17 anggota bersama tiga jentera dari Zon 4 Selangor (Hulu Langat), Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih, Bangi serta Ampang selain agensi lain termasuk pihak polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Punca kebakaran terbabit mudah merebak ke beberapa tompok-tompok api disebabkan tiupan angin di sekitar bukit berkenaan.
Api berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 2.30 pagi sebelum operasi ditutup jam 3.30 pagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.