
ISKANDAR PUTERI: Ribuan warga tempatan yang mencari rezeki di Singapura dengan berulang alik menggunakan motosikal melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, terpaksa berdepan kesesakan luar biasa sejak semalam.
Menerusi video yang tular di media sosial, sebahagian besar penunggang motosikal terpaksa menunggu lama sebelum dapat melepasi kaunter pemeriksaan imigresen.
Kesesakan yang didakwa berlaku sejak awal pagi semalam turut menyebabkan ramai yang lewat tiba di tempat kerja.

Ada juga mendakwa kesesakan berlaku berpunca daripada aduan yang tersebar menerusi aplikasi Telegram bahawa laluan motosikal gagal dibaiki, selain sikap pegawai yang bertugas.
Susulan itu dakwa mereka, pemeriksaan di laluan terbabit diperketatkan sehingga menyebabkan berlaku kesesakan luar biasa.
Buletin TV3 sedang cuba mendapatkan maklum balas daripada Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berhubung punca sebenar kesesakan berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa