comscore
Tumpuan :
Nasional

Laluan kontra di Koridor Ampang 3 Julai

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Laluan kontra di Koridor Ampang membabitkan laluan di Jalan Ampang dari Ampang Point ke Jalan Tun Razak akan dilancar mulai 3 Julai depan.

Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) dalam satu kenyataan memberitahu ia membabitkan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Yazurin Sallij berkata  laluan kontra itu akan mengelakkan bas daripada tersekat di dalam kesesakan trafik yang selalunya menjadi punca utama kelewatan tiba bas di hentian.

Jelas beliau, bukti konsep (POC) laluan kontra bagi perkhidmatan itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia, membabitkan Laluan 300 (Pandan Indah – Lebuh Ampang), Laluan 303 (Taman Mulia Jaya – Lebuh Ampang) dan DS01 (Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang ke Ampang Park/KLCC).

“Kami di Rapid Bus sentiasa berusaha meningkatkan pengalaman penumpang kami. Salah satu komponen yang agak kritikal adalah memastikan agar bas kami tiba di hentian mengikut jadual yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebagai menyahut seruan kerajaan untuk menampilkan inisiatif penambahbaikan perkhidmatan bas awam, pihaknya menyasarkan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan bas Rapid KL dan seterusnya menaikkan kebolehpercayaan perkhidmatan kepada orang awam.

Muhammad Yazurin berkata, dengan adanya satu laluan sementara yang dibuka khas untuk pengangkutan bas awam sahaja pada waktu puncak pagi dan petang, ia akan memastikan kekerapan bas yang lebih tepat, sekali gus memendekkan masa menunggu penumpang.

“Kami berharap lebih ramai penduduk di sekitar Ampang akan menggunakan perkhidmatan bas sebagai pilihan utama mereka untuk ke pusat bandar raya kerana ia jimat, cepat dan mudah,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini