SHAH ALAM: Kenderaan penduduk dari kawasan terjejas banjir sekitar Taman Sri Muda boleh menggunakan laluan kecemasan untuk ke Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA) yang akan dibina pada Disember ini.
Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Roslan berkata, projek pembinaan itu membabitkan kerjasama dengan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas).
Bagi tujuan itu katanya, pembinaan tanjakan (ramp) di laluan kecemasan dari kawasan Taman Sri Lembayung ke kawasan Rehat & Rawat Tol Taman Sri Muda akan dibuat.
“Laluan kecemasan itu akan menggunakan sebahagian laluan sepanjang LKSA dianggarkan boleh menempatkan lebih 500 kenderaan.
“Pembinaan akan bermula secepat mungkin Disember ini yang mana kita akan hantar kepada Prolintas untuk mendapatkan kelulusan dari segi reka bentuk yang sudah disiapkan.
“Laluan kecemasan ini hanya digunakan sekiranya berlakunya banjir, bukan laluan untuk ‘bypass’ Taman Sri Muda… hanya dibuka dengan arahan Pengerusi Bencana Daerah Klang atau Ketua Polis Daerah Shah Alam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pelan Tindakan Banjir di LKSA antara MBSA dan Prolintas di Wisma MBSA di sini semalam.
Mohd Rashidi menandatangani mewakili MBSA sementara Prolintas diwakili Pengurus Besar Operasi Lebuhraya Prolintas, Azmee Nin.
Beliau berkata, MoU itu adalah jalinan kerjasama korporat sosial bagi pelaksanaan pelan tindakan banjir yang akan memberi manfaat kepada penduduk sekitar serta pengguna laluan itu yang terjejas semasa kejadian banjir luar biasa (extreme).
“Selain tanjakan di laluan kecemasan itu, turut dibina satu unit pintu pagar pada kedudukan pagar antara laluan arah Taman Sri Lembayung, membuat penyelenggaraan berkala terhadap tanjakan (ramp), memastikan laluan kecemasan itu boleh dilalui oleh kenderaan serta kenderaan penyelamat dan membantu mengawal trafik semasa penggunaan laluan kecemasan terbabit.
“Pihak Prolintas pula akan bekerjasama memberikan laluan kepada kenderaan dari kawasan terjejas banjir luar biasa untuk menggunakan laluan kecemasan yang dibina untuk ke laluan LKSA.
“Prolintas juga akan memastikan petugas dalam keadaan siap siaga serta boleh dihubungi pada bila-bila masa dan membantu mengawal lalu lintas atau trafik di kawasan atau laluan lebuh raya semasa banjir luar biasa,” katanya.
Selain itu katanya, Prolintas juga akan membenarkan kenderaan dari kawasan terjejas banjir yang menggunakan laluan kecemasan itu untuk menggunakan laluan LKSA ke tempat selamat tanpa pengenaan tol.
“Begitu juga sebaliknya bagi kenderaan penyelamat ke kawasan terjejas banjir, penyelenggaraan bagi memastikan aliran air lancar dan tiada limpahan berlaku di kawasan perumahan bersebelahan laluan lebuh raya, membina struktur bagi menghalang kemasukan air parit utama ke LKSA di Seksyen 23, Shah Alam dan mengurus aliran air dari LKSA untuk mengalir terus ke sungai atau ke sistem perparitan dengan sempurna dan lancar.
“Ini bagi mengelakkan air bertakung di permukaan jalan (LKSA) atau melimpah secara tidak terkawal ke kawasan perumahan dan pembangunan yang bersebelahan di sepanjang jajaran LKSA.
“Kerjasama di antara pihak MBSA dan Prolintas ini adalah inisiatif MBSA untuk memastikan langkah yang diambil ketika bencana banjir di kawasan sekitar dapat dilaksanakan dengan lebih komprehensif,” katanya. – HARIAN METRO