comscore
Tumpuan :
Nasional

PRN 2023: Beberapa laluan utama ditutup sementara pastikan kelancaran hari penamaan calon

 

KUALA LUMPUR: Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk merancang pergerakan bagi memastikan kelancaran lalu lintas  sepanjang proses penamaan calon berlangsung  pagi ini di enam negeri yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Di Selangor,  beberapa laluan ke dua pusat penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam daerah Gombak ditutup sementara.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata ia melibatkan pusat penamaan calon di Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Dewan Mutiara Bestari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu.

Katanya penutupan jalan dibuat secara berperingkat di pusat-pusat penamaan calon terbabit bermula jam 7 pagi ini.

“Kesemua laluan yang ditutup itu akan dibuka semula sebaik proses penamaan calon selesai,” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Ariffin berkata, bagi pusat penamaan calon di MPS, penutupan jalan berperingkat akan dilaksanakan di Bulatan Beringin, manakala laluan dari Bulatan Beringin menghala ke MPS ditutup sepenuhnya.

“Di Jalan Persiaran 3, laluan akan dibuat jalan sehala menuju ke Puncak Templer.

“Bagi pusat penamaan calon di SMK Sungai Pusu pula, Jalan Sungai Pusu menghala ke Simpang 3 Gombak akan ditutup dan laluan kontra diwujudkan di Lorong Sekolah,” katanya.

Manakala di Terengganu, laluan di hadapan Pusat Penamaan Calon, Dewan Sivik Seberang Takir, Kuala Terengganu ditutup bermula jam 7 pagi tadi.

Pagar penghalang jalan didirikan di Jalan Fikri serta dikawal pihak berkuasa.

Beberapa jalan sekitar kawasan di Parlimen Terengganu dan Kuala Nerus juga ditutup sementara bagi memberi laluan kepada hari penamaan calon PRN dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din sebelum ini berkata, penutupan jalan bermula jam 7 pagi hingga 1 petang itu bagi memberi laluan kepada penyokong parti politik ke pusat penamaan calon ditetapkan.

“Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar pula diadakan di Dewan Serbaguna Perpustakaan Awam Kuala Terengganu yang melibatkan penutupan jalan di Jalan Hilirian iaitu bermula dari lampu isyarat Perpustakaan Awam Kuala Terengganu hingga lampu isyarat PPR Hiliran,” katanya dalam kenyataan.

Di Kedah, kerja penutupan jalan berhadapan Kompleks Belia dan Sukan Kota Setar juga mula dilakukan.

Sementara itu di Pulau Pinang, laluan utama di empat pusat penamaan calon di daerah Timur Laut di sini,  ditutup bermula jam 7 pagi sehingga selesai, bagi memastikan aliran trafik berlangsung dengan lancar.

Empat laluan itu adalah di Kompleks Masyarakat Penyayang, Jalan Utama, Dewan Sri Pinang di Jalan Tun Syed Sheikh Barakbah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penang Free di Jalan Masjid Negeri dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa Confucian di Jelutong.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, bagaimanapun laluan di empat lagi pusat penamaan calon tidak ditutup dan hanya diadakan kawalan lalu lintas supaya tidak berlaku kesesakan.

Loading...
Terkini