Tumpuan :
Nasional

Laksana peperiksaan penilaian tanpa abai kesihatan mental pelajar

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembagunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn merasmikan Persidangan Antarabangsa Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan 2024 di Kuching.

Oleh: Kadir Edison

KUCHING: Aspek penilaian menerusi peperiksaan di sekolah perlu diberi dan dilaksanakan tanpa mengabaikan aspek kesihatan mental dan tekanan di hadapi pelajar.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembagunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, peperiksaan penting bagi menilai tahap pemahaman pelajar terhadap subjek yang diajarkan kepada mereka ketika sesi pembelajaran dan pengajaran.

Menurutnya, Sarawak tetap meneruskan rancangannya untuk mengadakan peperiksaan penilaian bagi murid tahun enam, tahun hadapan bagi menilai tahap pencapaian program dwi Bahasa yang dilaksanakan di wilayah itu.

“Kita tidak boleh menunggu sehingga tingkatan lima untuk menduduki peperiksaan SPM bagi mengetahui pencapaian pelajar dalam sistem pendidikan kerana ia sudah agak terlambat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan 2024 di Kuching.

Beliau berkata, walaupun pendekatan itu berbeza dengan dasar persekutuan, namun ia satu keperluan dan berupaya menjadi satu persediaan kepada pelajar untuk menghadapi peperiksaan lebih besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Lebih awal kita melaksanakan penilaian itu adalah lebih baik kerana kita boleh memperkemaskan pelajar ini mengikut kemampuan mereka.

“Ini bukan sahaja berguna untuk golongan pendidik tetapi juga membolehkan ibu bapa melihat pencapaian anak mereka,” katanya.

Terdahulu pada sidang Dewan Rakyat, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memberitahu keputusan kementerianya mansuhkan pembelajaran berorientasikan peperiksaan terhadap murid di sekolah bertujuan untuk mengurangkan tekanan dihadapi murid terlibat.

Pendekatan itu berbeza dengan Sarawak yang berhasrat melaksanakan peperiksan penilaian untuk murid tahun enam, tahun hadapan manakala bagi pelajar tingkatan tiga pada 2028.

Bagaimanapun, peperiksaan penilaian itu hanya membabitkan tiga mata pelajaran utama membabitkan program Dual Bahasa (DLP) iaitu matapelajaran Bahasa Inggeris, Matemetik dan Sains.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini