Tumpuan :
Dunia Seni

Lagu Siti Nurhaliza jadi pilihan peribadi Raja Charles III

 

KUALA LUMPUR: Anta Permana, lagu ikonik nyanyian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, kini turut mencuri perhatian Raja Britain, Raja Charles III, sebagai salah satu pilihan peribadi Baginda.

Dalam satu perkongsian eksklusif di media sosial The Royal Family, Baginda mendedahkan bahawa lagu Siti Nurhaliza berada dalam senarai lagu kegemarannya bersempena dengan sambutan Hari Negara-Negara Komanwel.

“Saya ingin berkongsi dengan anda lagu-lagu yang telah membawa kebahagiaan dalam hidup saya. Lagu-lagu ini merangkumi pelbagai gaya dan budaya yang berbeza.

Namun, seperti keluarga negara-negara Komanwel yang makmur, mereka, dalam cara yang tersendiri, berkongsi kecintaan yang sama terhadap kehidupan, dalam segala keindahan dan keharmonian beragama,” ujar Raja Charles III.


Senarai lagu-lagu pilihan Baginda dikumpulkan khas di platform Apple Music dengan tajuk His Majesty King Charles III’s Playlist, yang menampilkan gabungan muzik dari seluruh dunia.

Tidak hanya Siti Nurhaliza, kompilasi itu turut menampilkan selebriti antarabangsa terkenal seperti penyanyi Britain yang sedang meningkat naik, Raye, legenda muzik Grace Jones, ikon reggae Bob Marley, serta diva pop Diana Ross.

Senarai 17 lagu yang berdurasi satu jam sepuluh minit ini juga turut menampilkan bintang global seperti Beyonce, Kylie Minogue, dan Michael Buble, membawa pendengar dalam satu perjalanan muzik yang merentasi benua dan budaya.

Loading...
Terkini