Tumpuan :
Nasional

Lagu kempen ‘Inilah masanya, cuti-cuti Malaysia’ dilancarkan

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing (tengah) melepaskan peserta Program Larian dan Majlis Pelancaran Lagu Kempen ‘Ini Lah Masanya Cuti-Cuti Malaysia’ di Dataran DBKL, hari ini.

KUALA LUMPUR: Pelancaran lagu kempen Tourism Malaysia ‘Inilah masanya, cuti-cuti Malaysia’ selain acara Larian Santai memeriahkan sambutan Hari Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Program anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama Persatuan Rekreasi Wilayah Malaysia (PRWM) itu, turut menarik 5,302 peserta di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, tagline ‘Inilah Masanya’ memanifestasikan seruan kepada rakyat Malaysia untuk terus menyokong sektor pelancongan domestik supaya kekal berdaya saing meskipun berdepan krisis COVID-19.

“Selain berlari santai menghirup udara segar, program ini secara tidak langsung dapat mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong menerusi aktiviti sukan, rekreasi, seni dan kebudayaan.

Gelagat peserta Program Larian dan Majlis Pelancaran Lagu Kempen ‘Inilah masanya cuti-cuti Malaysia’ di Dataran DBKL, hari ini.

“Melalui kempen ini, diharapkan lebih ramai rakyat Malaysia melancong merentasi pelbagai negeri, sekali gus menyumbang kepada pertubuhan ekonomi setempat,” katanya dalam kenyataan Tourism Malaysia, hari ini.

Lagu kempen ‘Inilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia’ dinyanyikan oleh Nik Qistina dan adalah gubahan komposer Ananth Kumar dengan lirik ciptaan James Boyle.

Dalam majlis sama, Tiong turut melepaskan peserta Larian Santai sejauh tujuh kilometer sepanjang laluan Pagi Bebas Kenderaan Kuala Lumpur.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Saraya Arbi; Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab dan Pengarah Eksekutif (Pengurusan) DBKL, Khairul Anuar Mhd Juri yang mewakili Datuk Bandar, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan turut diserikan dengan program Pameran Santai@Kuala Lumpur ‘Me&Mycity’ di Dataran Mereka yang menawarkan pelbagai pakej pelancongan menarik, selain aktiviti untuk pengunjung seperti demonstrasi batik dan terapi spa.

Antara pempamer yang menyertai astaka Tourism Malaysia kali ini ialah Menara Kuala Lumpur, Persatuan Spa Malaysia (AMSPA), C’woks Design (Batik Tulis), Premier Hotels & Resort dan Farhan Travel & Tours. – BERNAMA

Loading...
Terkini