KLUANG: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas memasuki kebun kelapa sawit miliknya di Batu 17, Kahang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, memaklumkan pengawal keselamatan di kebun tersebut merekodkan motosikal milik mangsa, Lee Siew Hat, 73, masuk pada 9.12 pagi dan keluar pada 11.13 pagi.
Bagaimanapun, isteri mangsa membuat laporan polis pada 4.30 petang berikutan suaminya tidak pulang sejak pagi selepas keluar untuk memeriksa kebun kelapa sawit itu.
“Sepasukan anggota Balai Polis Kahang dan sukarelawan Bomba Kahang membantu mencari suami pengadu di dalam kawasan kebun Batu 17, namun gagal.
“Pencarian masih diteruskan termasuk menggunakan khidmat anjing pengesan di sekitar kawasan kebun berkenaan yang sangat luas dan mempunyai banyak laluan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Bahrin, pihaknya kini memperluaskan operasi mencari dengan menambah keanggotaan, termasuk bantuan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA).
Kes ini turut menjadi perhatian ramai selepas kisah kehilangan tersebut tular di media sosial, mengundang simpati masyarakat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.